Ketika meninjau2 blog2 lain,Saya tertarik untuk berkongsi pendapat Faisal Tehrani
(Penulis Novel dan Buku Ilmiah) mengenai pendapat beliau tentang isu PPSMI.
Mesej "BAHASA"
Tuan-tuan yang saya kasihi,
Saya tidak menentang hasrat sesiapa pun untuk menguasai bahasa Inggeris.
Bahkan bahasa Inggeris adalah bahasa yang mesti dikuasai.
Tetapi ada beza antara 'menguasai' dan 'menyerah'.
Isu hari ini ialah isu 'menyerah',
bukan sama sekali isu 'menguasai'.
Kerana strategi, teknik, latar dan niat di sebalik pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah 'menyerah'.
Sekian banyak kajian yang mengatakan bahawa hal ini songsang, dan menyebabkan umat ketinggalan;
telah diketepikan dengan sombong sekali.
Sabtu ini, turunlah meramaikan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu (terutama jika saudara berbangsa Melayu).
Tetapi....
Betulkan niat saudara dahulu.
Nah, betulkan niat.
Jangan turun kerana Ketua Dewan Pemuda PAS menyuruh anda turun.
Jangan turun sabtu ini kerana Anwar Ibrahim turun.
Jangan turun kerana Haji Abdul Hadi Awang turun.
Menurut saya, Anwar Ibrahim tidak boleh diharap.
Meskipun sejarah beliau sebagai pejuang bahasa kelihatan molek
tetapi pada pandangan saya yang cetek politik ini,
PKR hanyalah menggunakan isu ini sebagai landasan
untuk bermain dengan sentimen dan mempolitikkan isu ini.
Jangan turun kerana Haji Abdul Hadi Awang,
kerana menurut saya PAS sudah banyak berubah.
Kalimah Allah pun boleh dikongsi dengan penganut agama bukan Islam
(menurut Mursyidul Am nya).
Begitu sekali PAS telah sanggup mengubah dirinya sedang kertas yang tercetak nama Allah pun ulama PAS tak akan membawanya ke jamban.
Ingatlah, sekiranya salah satu rakan PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat boleh sebegitu berbulu dengan tulisan Jawi di Jalan Bukit Bintang atau Seputeh,
maka jangan berharap dengan mereka sepenuhnya untuk memperjuangkan isu ini.
Apatah lagi, ramai yang berkumpul dalam parti mereka ini adalah liberalis yang meluat dengan pejuang bahasa
(yang dilabel sebagai tradisionalis/konservatif/fundamentalis dalam senyap).
Kebetulan isu ini adalah isu yang sedap.
Betulkan niat.
Saya bukan pakar bahasa.
Saya hanya pengarang kreatif.
Saya tidak dapat berhujah seperti pejuang-pejuang bahasa lain.
Tetapi saya kenal dan tahu satu perkara:
bahasa Inggeris memang perlu kita kuasai,
tetapi jangan sampai kita menyerah.
Ada sebab tuan-tuan, mengapa misalnya (sekadar misalan)
pemimpin Iran seperti Mahmoud Ahmadinejad yang fasih berbahasa Inggeris
tetap memilih untuk berbahasa Parsi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ada sebab mengapa Hujjatul Islam Muhammad Khatami yang fasih berbahasa Jerman kekal bertutur dalam bahasa Parsi.
Kerana menguasai bukan bererti menyerah.
Dalam manifesto kebudayaannya, pemimpin spiritual Iran atau rahbar telah mengingatkan budaya dapat menjadi senjata.
Ketahuilah bahasa Inggeris adalah bahasa kolonialisme.
Bahasa adalah jiwa bangsa. Bahasa mencorakkan karektor penuturnya.
Kehalusan bahasa Arab seperti yang terkandung dalam al-Quran mencorakkan ketepuan ilmu dan adab penuturnya
(baca: sepatutnya).
Kekuatan logis pada bahasa Jerman mencorakkan penuturnya,
kerana itu di Jerman kita dapati bangsanya adalah bangsa 'no nonsense'.
Bayangkan generasi muda Melayu-Islam yang cair berbahasa Melayu
tetapi menjiwai bahasa Inggeris.
Bayangkan generasi Melayu-Islam di Malaysia
menjadi seperti (sebahagian besar) Melayu-Islam di Singapura.
Bahasa Inggeris adalah bahasa kolonialisme,
ia datang dengan pongah, dengan rasa diri benar,
dengan rasa bahawa tanpa menuturnya bererti tidak moden,
bererti kuno,
bererti ketinggalan zaman.
Pesan rahbar atau Sayyid Ali Khamenei,
kita menguasainya, bukan menyerah kepadanya.
Sabtu ini turunlah. Betulkan niat tuan-tuan.
Turun untuk menyelamatkan sekelumit punya orang Melayu yang akan terhakis.
Jangan mengalah dalam perang kebudayaan;
begitu tegas Sayyid Ali Khamenei.
Menguasai tak mengapa, menyerah jangan.
Buat pemimpin UMNO, sedarlah betapa semakin ramai intelektual Melayu beralih kapal. Mereka tahu kapal PKR dan PAS bukannya elok benar
tetapi mereka tiada pilihan lain.
Kiranya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said
dapat turun ke pentas politik pembangkang maka
tuan-tuan dalam UMNO mesti tahu 'amaran' yang telah dikeluarkan. Jika UMNO yang melayu sudah menyerah, dan bukan lagi menguasai bahasa (baca: budaya) maka beritahu segera kepada siapa lagi orang Melayu harus mengadu?
Turun, dan betulkan niat. Turun dengan aman kerana itu hak tuan-tuan.
Elakkan provokasi.
Turun dengan mengerti dan turun dengan bersolawat sebanyak-banyaknya; dengan harapan, demi kemuliaan Rasulullah dan ahlul baitnya yang kelahiran Nabi Muhammad sangat hampir sekali (tidak lama lagi), bangsa Melayu-Islam akan bangkit dan sedar lalu menguasai bukan lagi menyerah.
Jangan sampai bahasa Melayu menjadi seperti tulisan Jawi:
hidup segan mati tak lalu.
Turun! Turun! Turun!
No comments:
Post a Comment